Anak bongsu lagenda bolasepak Singapura, Iryan Fandi Ahmad berjaya membuat penampilan pertama dalam saingan Singapore Premier League bersama pasukan Hougang United.
Pemain berusia 16 tahun 8 bulan itu diberi kepercayaan oleh pengendali pasukan untuk masuk pada minit ke-76 permainan bagi menggantikan Jordan Vestering yang mengalami kecederaan. Pemain berkaki kiri itu diberi peranan untuk beraksi sebagai pertahanan tengah pasukan.
Beraksi dengan cukup baik hingga ke minit-90 permainan, beliau beberapa kali dilihat berjaya menghalang gerakan pasukan lawan terutamanya dalam menyekat larian bertenaga bintang Tampines Rovers, Faris Ramli.
Bagaimanapun pada minit-minit akhir di waktu kecederaan, Iryan telah didakwa mengasari pemain lawan sehingga pengadil perlawanan memberikan sepakan penalti buat Tampines Rovers. Penyerang Tampines Rovers, Boris Kopitovic menyempurnakan sepakan penalti tersebut.
Gagal mengutip tiga mata dilaman sendiri, Hougang United sekadar berpuas hati meraih keputusan seri 1-1 dengan Tampines Rovers. Iryan semestinya akan terus diberikan pendedahan lebih banyak serta peluang untuk beraksi bersama Hougang United dalam saingan SPL 2023.
Untuk rekod, Iryan pernah menyertai skuad B16 tahun Lion City Sailers sebelum berpindah ke pasukan Hougang United pada 2022. Beliau mengharungi musim yang cukup indah ketika beraksi dalam saingan bawah 17 tahun Singapura, Centre Of Excellance bersama Hougang United.
Menurut The Straits Times Singapore, Iryan berada dalam kesebelasan utama pasukan dalam kesemua 14 aksi perlawanan liga dan cemerlang mencatat enam perlawanan tanpa bolos. Iryan berjaya menempatkan Hougang United dikedudukan kedua dalam saingan liga tersebut.
Prestasi semasa ubi muda Singapura ini pastinya akan terus meningkat naik mengikut jejak langkah abang-abangnya iaitu Ilhan, Ikhsan dan Irfan yang kini beraksi di luar negara. Iryan dilihat sebagai permata dan prospek masa depan terbaik buat Singapura.