ISTAF Denda 5 Pemain Sepak Takraw Thailand
UltraSukan
TAT

Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mendenda lima pemain dan tiga pegawai sepak takraw Thailand susulan kontroversi final Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Kuala Lumpur.

Kontroversi tercetus apabila pasukan Thailand menghentikan permainan dalam aksi final regu berpasukan menentang tuan rumah, Malaysia.pada 24 Mei lalu.

Meskipun cuba dipujuk untuk kembali ke gelanggang untuk meneruskan perlawanan, kem Thailand enggan berbuat demikian. Ini membuka jalan kepada Malaysia untuk muncul juara dunia acara regu berpasukan.

Kini, Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader memaklumkan kes tersebut telah didengar di hadapan Panel Pendengaran Tatatertib ISTAF pada 10 Ogos lalu di The Grand FourWings Convention Hotel, Bangkok.

Susulan itu, Panel Tatatertib ISTAF menjatuhkan denda sebanyak AS$6,000 (RM24,516) ke atas Phutawan Sopa, Wichan Temkort dan Jakkrit Thinbangbon. Denda AS$5000 (RM20,430) ke atas dua pemain simpanan, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart.

Jurulatih dan penolong jurulatih Thailand, Narachit Kalachan dan Sahachat Sakhoncharoen masing-masing didenda AS$8,000 (RM32,700). Pengurus pasukan, Auychai Srisuwan pula didenda AS$10,000 (RM40,860).

Meskipun dikenakan denda berat oleh ISTAF, kesemua pemain dan pegawai yang dikenakan hukuman telah selesai menjalani penggantungan. Hal ini membolehkan mereka beraksi di Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Sekiranya mereka gagal melunaskan denda dalam tempoh 14 hari, mereka berdepan penggantungan antara setahun hingga dua tahun. Susulan itu, Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT) mengumumkan mereka akan segera melunaskan denda berkenaan.