Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil bagi menjawab berkenaan isu gangguan seksual yang melibatkan atlet negara.
Beliau yang ditemui ketika Majlis Perasmian Seminar Kod Sukan Selamat berkata siasatan mengenai kes ini masih lagi disiasat oleh pihak polis dan pihak Majlis Sukan Negara (MSN) sedang berusaha untuk melindungi atlet-atlet ini.
”Berkenaan kes laporan media mengenai tuduhan bahawa terdapat gangguan seksual dalam kalangan atlet para renang, laporan polis telah dibuat oleh pengadu dan siasatan polis sedang berjalan,” katanya kepada pihak media.
“Safeguarding officer Majlis Sukan Negara telah bertindak untuk memanggil atlet-atlet yang terlibat untuk segera melaksanakan tindakan bagi melindungi mereka.”
Beliau juga berkongsi bahawa terdapat tiga hasil perbincangan bersama safeguarding officer berkenaan isu yang berlaku ini melibatkan jurulatih, atlet dan media.
“jurulatih yang dituduh, telah direhatkan daripada melatih sementara siasatan dijalankan,” ujar beliau.
“Atlet juga meminta supaya latihan disambung kerana mereka tidak mahu persiapan ke Sukan Paralimpik terganggu. MSN sedang melihat permintaan ini kerana yang penting, wujud mekanisme selamat untuk lindungi mereka sebelum latihan bermula.”
“Saya mintak kerjasama pihak media untuk melindungi identiti semua yang terlibat kerana sehingga sekarang masih tuduhan sahaja sehingga siasatan polis selesai.”
Tambahnya lagi, laporan kes seksual ini diterima oleh MSN di dalam emel dalam bentuk ‘surat layang’ dan memandangkan laporan polis sudah dibuat, maka, segala keputusan akan ditentukan selepas siasatan selesai.
“Jika benar tuduhan ini betul, MSN akan ambil tindakan terus, itu sebab kita rehatkan dulu. Jika pelaporan ini masih berterusan atau surat layang ini tidak betul, tindakan undang-undang akan berlaku.”