Penaung pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Datuk Fahmi Fadzil memberi jaminan isu kewangan yang membelenggu pasukan itu akan selesai tidak lama lagi.
Kenyataan ini dibuat beliau apabila ditanya tentang hala tuju pasukan tersebut selepas tamat Liga Super musim 2025/26.
Fahmi memaklumkan isu tunggakan gaji pemain kini di peringkat proses penyelesaian. Selain itu, beliau juga percaya isu dana KL City juga akan selesai dan berharap perkara tersebut tidak berulang pada masa akan datang.
“Harapan saya isu-isu yang berbangkit daripada masalah sama ada penggajian ataupun tunggakan dapat diuruskan dalam tempoh terutama sejak saya menjadi penaung kepada KL City, beberapa perkara telah ditambah baik.
“Kita percaya isu dana Insya Allah tidak lagi menjadi satu isu yang terlalu besar. Dan kita akan uruskan beberapa perkara untuk pastikan aspek-aspek perlesenan (berdepan) tidak ada apa-apa halangan,” katanya kepada Nadi Arena.
Fahmi ditemui media selepas Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai di Kuala Lumpur pada 27 Mei lalu.
Jaminan itu dibuat tatkala KL City dikenakan denda RM45,000 oleh Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini. Meskipun didenda MFL, kelab tetap mendapat Lesen Kebangsaan dengan ‘sanction’.
Justeru, The City Boys dan tiga lagi kelab perlu melengkapkan semua dokumen yang diminta MFL sebelum 15 Julai ini. Jika gagal berbuat demikian, perkara ini akan dirujuk kepada First Instance Body (FIB) untuk tindakan selanjutnya.