Isu Pengadil, Selangor Minta Penjelasan FAM
MakanBola
Selangor FC

Pengurusan Selangor FC akan meminta penjelasan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC.

Mutu pengadilan aksi itu menjadi bualan peminat selepas beberapa gambar perlawanan itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Ramai peminat percaya jika tidak kerana kualiti pengadilan yang kurang memuaskan, Selangor boleh saja meraih kemenangan lebih besar ke atas Sang Rusa.

Susulan itu, pengurusan Selangor memaklumkan bahawa mereka telah mendapatkan penjelasan FAM berhubung mutu pengadilan aksi berkenaan.

“Untuk makluman semua penyokong, pihak kelab sentiasa menggunakan saluran rasmi yang diperuntukkan oleh pihak FAM bagi memohon penjelasan berkenaan keputusan-keputusan pengadil dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.

“Setelah menjalankan penilaian penuh secara dalaman, pihak kelab telah memohon penjelasan dari pihak FAM mengenai beberapa keputusan pengadil dalam perlawanan tersebut, khususnya jaringan dua gol yang telah dibatalkan dalam perlawanan tersebut,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Selangor juga percaya FAM mengambil berat tentang mutu pengadilan bola sepak di Malaysia. Sekiranya ada isu pengadilan yang timbul, pengurusan Merah Kuning percaya FAM akan mengambil langkah bersesuaian.

“Pihak Kelab percaya bahawa FAM memandang serius perkara ini dan akan meneliti semula keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh pengadil serta mengambil tindakan yang bersesuaian sekiranya pihak FAM mendapati bahawa terdapat sebarang kesilapan dalam pengadilan perlawanan tersebut.

“Selangor FC berharap agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan terus menghormati proses yang disediakan oleh pihak FAM berkenaan dengan perkara ini,” ujarnya.

Selangor meraih kemenangan 5-1 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi berkenaan. Merah Kuning mara ke separuh akhir dengan keputusan agregat 6-1.