Piala Malaysia musim 2025/26 menyaksikan Selangor FC menewaskan Negeri Sembilan FC 5-1 dalam aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu.
Kemenangan tersebut sekali gus memastikan kemaraan Selangor ke pentas separuh akhir Piala Malaysia musim ini dengan agregat 6-1.
Selangor mempertaruhkan Kalamullah Al-Hafiz sebagai benteng terakhir, dengan Faisal Halim memimpin pasukan selaku kapten. Di bahagian hadapan, gandingan Chrigor Moraes dan Alvin Fortes menjadi sandaran utama dalam usaha memburu jaringan.
Negeri Sembilan pula menurunkan Aqil Razak sebagai penjaga gol, Khuzaimi Piee menggalas tanggungjawab kapten, manakala Jovan Motika diberi peranan utama mengetuai jentera serangan.
Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan rentak yang pantas bagi memburu gol awal secepat mungkin.
Selangor FC membuka tirai perlawanan dengan penuh bergaya apabila Faisal Halim menjaringkan gol seawal minit pertama, berpunca daripada kesilapan mudah barisan pertahanan Negeri Sembilan FC yang nyata belum bersedia menghadapi asakan pantas tuan rumah.
Tersentak dengan jaringan awal itu, skuad Sang Rusa bangkit meningkatkan intensiti permainan. Beberapa gerakan berbahaya berjaya diatur menerusi kombinasi lincah A. Selvan dan Takumi Sasaki dalam usaha merapatkan jurang jaringan.
Takumi hampir menghadirkan detik kebangkitan buat pelawat apabila melepaskan rembatan padu menerusi sepakan percuma. Namun, percubaannya sekadar menyaksikan bola melambung tinggi dan tersasar jauh daripada gawang Gergasi Merah.
Sebaliknya, tuan rumah terus mempamerkan ketajaman penyudah. Selangor FC menambah gol kedua pada minit ke-24 menerusi sentuhan berbisa penyerang prolifik, Alvin Fortes, yang bijak menyempurnakan hantaran lintang menarik daripada Chrigor Moraes.
Tidak terhenti di situ, dominasi Gergasi Merah kian terserlah apabila Nooa Laine meledakkan gol ketiga pada minit ke-30. Rembatan derasnya dari luar kotak penalti nyata gagal diselamatkan penjaga gol Sang Rusa, Aqil Razak sekali gus mengukuhkan lagi kelebihan tuan rumah.
Quentin Cheng menutup separuh masa pertama dengan meledak gol keempat perlawanan pada masa kecederaan.
Babak pertama berakhir dengan keputusan 4-0 memihak kepada Selangor, yang jelas menguasai permainan dari segi taktikal, intensiti dan ketajaman di hadapan gol.
Bersambung babak kedua, Selangor dilihat terus menerus menguasai perlawanan dengan melakukan lambakan percubaan berbahaya ke arah kubu pasukan Negeri Sembilan.
Chrigor Moraes memastikan gawang gol Negeri Sembilan tewas buat kali kelima selepas meledak gol cantik pada minit ke-66 perlawanan.
Negeri Sembilan yang tampak tidak berputus asa berjaya memperoleh sepakan penalti selepas pertahanan Selangor, Ahmad Zikri Khalili mengasari pemain The Jangs dalam kawasan kotak penalti Gergasi Merah.
Jovan Motika berjaya meledak sepakan penalti tersebut pada minit ke-73 sekali gus mendekatkan defisit gol buat sementara waktu dengan 5 jaringan.
Aksi tamat dengan keputusan 6-1 secara agregat memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor FC sekali gus memastikan kemaraan Gergasi Merah ke pentas separuh akhir Piala Malaysia 2025/26 dan dijadualkan bertemu Kuching City yang mengesahkan kemaraan terlebih dahulu.