Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, menyifatkan pasukan Negeri Sembilan menerima pujian ramai pada awal musim Liga Malaysia, tetapi prestasi mereka dilihat kurang konsisten dalam beberapa perlawanan terakhir.
Kenyataan ini dibuat menjelang aksi timbal balik suku akhir kedua Piala Malaysia 2025/26 antara Negeri Sembilan dan Selangor, yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini.
Menurut Datuk Zainal, Negeri Sembilan menjadi perhatian peminat bola sepak selepas berjaya memberikan tentangan sengit kepada Harimau Selatan dalam dua perlawanan Liga Super musim ini, sekali gus menjadi pasukan domestik pertama yang berjaya merobek gawang JDT pada musim ini.
Selain itu, The Jangs turut menampilkan prestasi memberangsangkan ketika bertemu Gergasi Merah dalam aksi Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia. Setakat ini, Negeri Sembilan telah berdepan Selangor sebanyak lima kali dalam Liga Malaysia musim ini, dengan rekod dua kemenangan dan tiga kekalahan.
“Kita sudah menyaksikan beberapa perlawanan sebelum ini dan memuji persembahan Negeri Sembilan, namun mereka tidak konsisten. Mereka mengejutkan peminat bola sepak Malaysia dengan memberikan tentangan sengit kepada pasukan gergasi seperti JDT dan Selangor pada awal musim dengan kualiti serangan yang baik.”
“Bagaimanapun, prestasi itu berkurangan dalam beberapa aksi kebelakangan ini. Kita berharap mereka dapat kembali menunjukkan aksi terbaik dalam pertemuan timbal balik ini,” kata Datuk Zainal Abidin Hassan dalam rancangan Nadi Bola di Astro Arena.
Negeri Sembilan bakal menentang Selangor dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 14 Februari, Sabtu.