Piala Malaysia: Penalti Julang Selangor Atasi Negeri Sembilan
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor menundukkan pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan dengan keputusan 0-1 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Ahad.

The Jangs meletakkan Azri Ghani di posisi penjaga gol, Takumi Sasaki sebagai kapten pasukan, manakala Joseph Esso menjadi sandaran utama di jentera serangan.

Gergasi Merah pula meletakkan Kalamullah Al-Hafiz sebagai benteng terakhir, Faisal Halim memimpin pasukan selaku kapten, manakala gandingan berbisa, Chrigor Moraes & Alvin Fortes dijadikan ayam tambatan serangan.

Kedua-dua kelab dilihat memulakan perlawanan dengan tempo yang tinggi bagi memperoleh jaringan pembukaan seawal mungkin.

Selangor terus menerus menekan gawang pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan menerusi Alvin Fortes & Chrigor Moraes namun gagal menemui jaring.

The Jangs turut melakukan beberapa serangan berbahaya ke arah gawang Selangor oleh Luqman Hakim & Joseph Esso namun ketangkasan Kalamullah Al-Hafiz harus diberi pujian.

Alvin Fortes hampir meledak gol pertama aksi pada minit ke-34 namun rembatan beliau sedikit tersasar di sebelah kanan gawang lawan.

Chrigor Moraes turut hampir membuka tirai jaringan perlawanan pada penghujung babak pertama, namun kecekapan penjaga gol Negeri Sembilan, Azri Ghani, berjaya menafikan percubaan berbahaya tersebut.

Aksi babak pertama tamat dengan keputusan terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua kelab.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat meningkatkan intensiti permainan dalam usaha mencari gol pembukaan perlawanan.

Takumi Sasaki melepaskan satu rembatan kencang dari dalam kotak penalti The Red Giants pada minit ke-55, namun percubaannya tersasar jauh.

Aksi tampak seimbang dengan kedua-dua pasukan memperagakan corak permainan saling berbalas serangan pada babak kedua.

Gol Chrigor Moraes pada minit ke-76 dibatalkan oleh pengadil selepas bola didapati terkena tangan beliau sebelum jaringan dihasilkan, sekali gus memastikan perlawanan kekal terikat 0-0.

Pada penghujung babak kedua, Selangor membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan Faisal Halim dan Victor Pernambuco, sebelum memasukkan Kim Ji-ho serta Mukhairi Ajmal bagi memburu jaringan kemenangan.

Chrigor Moraes meledak gol kemenangan pasukan Selangor pada masa kecederaan separuh masa kedua menerusi sepakan penalti selepas beliau dijatuhkan oleh Harith Samsuri dalam kawasan kotak penalti The Jangs.

Aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Selangor.

Selepas ini, kedua-dua pasukan akan bertemu semula dalam aksi kedua suku akhir Piala Malaysia musim 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 14 Februari depan.

Claim Money Packet TnG