Penyerang berbisa Terengganu FC, Ivan Mamut bersedia membantu pasukan itu merekodkan satu lagi kemenangan dalam Piala AFC.
Ketika ini, Terengganu merekodkan satu kemenangan dan satu seri dalam Kumpulan G selepas dua perlawanan.
Mereka berjaya mengalahkan Central Coast Mariners 1-0 sebelum mengikat kelab Indonesia, Bali United 1-1 dalam aksi kedua.
Mamut percaya dengan prestasi bagus pasukan ketika ini, tidak mustahil satu lagi kemenangan dapat dilakar apabila bertemu dengan kelab Filipina, Stallion Laguna.
“Pasukan ini (Terengganu) sudah mengutip empat mata dalam Piala AFC. Kita tak sabar untuk mendapatkan tiga mata lagi,” katanya kepada Nadi Arena selepas perlawanan separuh akhir Piala Malaysia pada Sabtu.
Sementara itu, Mamut mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran gol peribadi musim ini. Baginya, yang lebih penting ialah Terengganu kekal cemerlang dalam semua kejohanan yang disertai.
“Saya hanya mahu menikmati permainan saya dalam bola sepak. Dan jika pasukan beraksi cemerlang, maka saya boleh menjaringkan gol.
“Kita telah bermain dengan bagus sejak tiga, empat bulan yang lalu. Dan atas sebab itu, saya mampu menjaringkan gol,” tambahnya.
Mamut sudah menjaringkan 18 gol dalam semua kejohanan termasuk kemenangan 2-1 ke atas KL City dalam aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia.
Sentuhan peledaknya kini ditagih Terengganu bagi memastikan mereka meraih tiga mata ke atas Stallion di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 26 Oktober ini.