Justin Hubner bukan satu-satunya calon naturalisasi Timnas B-20 Indonesia. Selain Hubner, pemain tengah remaja Utrecht, Ivar Jenner turut dipilih sebagai calon pilihan jurulatih Shin Tae-yong.
Dalam temubualnya bersama CNN Indonesia, Jenner memilih mewakili Indonesia kerana mahu menggembirakan keluarganya.
Dia berkata, “Ayah saya dari Indonesia, begitu juga dengan datuk saya. Nenek saya lahir di Jember.
“Saya ingin membuat mereka bangga, jadi saya memenuhi undangan (PSSI) untuk pergi ke Jakarta. Saya ingin mengambil kesempatan ini dan suka berada di sini.”
Tambah Jenner lagi, pilihannya turut disokong oleh keluarga dan rakan-rakan. Dia menambah, “Teman-teman saya sangat bangga dengan pilihan saya ini kerana saya punya darah Indonesia.
“Ayah, ibu, datuk dan nenek juga senang dan saya ingin membanggakan mereka dengan pilihan saya.”
Pernah mewakili Jong Ajax (pasukan remaja Ajax Amsterdam), Jenner menyertai akademi Uhrecht pada 2016.
Seperti Hubner, kualiti permainannya turut menambat hati Tae-yong. Kedua-duanya diharap dapat menjadi tonggak Timnas B-20 terutama menjelang Piala Dunia B-20 pada tahun hadapan.