JDT Bentuk Pasukan Mantap, Sambar Tujuh Pemain Selangor MAC

JDT FUtsal 1 JDT Bentuk Pasukan Mantap, Sambar Tujuh Pemain Selangor MAC
Selangor MAC
Muhammad Aiman @aiman2309
10:35pm 14/11/2022

JDT nampaknya sudah memulakan langkah membentuk skuad mantap untuk mengharungi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023.

Ini adalah kali pertama JDT menghantar skuad untuk beraksi di liga tertinggi futsal tanah air dan jelas sekali mereka mahu mencipta impak segera apabila sedang rancak memancing nama-nama besar dan berprofil tinggi.

Di dalam senarai tersebut, tujuh pemain yang membantu Selangor MAC untuk muncul juara berganda MPFL 2022 dan Piala Malaysia pada Ogos lalu dilaporkan akan menjadi rekrut pertama JDT.

Empat daripadanya adalah pemain kebangsaan semasa iaitu penjaga gol Azrul Hadee Taufiq, Azri Rahman, Azwann Ismail dan Muhammad Ekmal Shahrin manakala tiga lagi pemain adalah Firdaus Ambiah, Daniel Abdul Dain dan Saad Sani.

Kesemua mereka telahpun sah dilepaskan oleh Selangor MAC dengan ucapan terima kasih dan selamat maju jaya di tempat baru.

Senarai pemain berprofil tinggi di JDT dijangka akan bertambah panjang tatkala skuad dikendalikan beberapa individu berpengalaman sedang berusaha keras untuk memancing beberapa lagi bintang Harimau Malaya dari skuad Pahang Rangers serta Perak yang tidak menghantar pasukan tahun ini.

Sebagai rekod, MPFL 2023 dijangka lebih meriah dengan pembabitan 18 pasukan – jumlah tertinggi sejak pertandingan ini diperkenalkan pada 2019.

Pasukan bertanding dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut zon dan kemudahan pengangkutan dengan Kumpulan A terdiri daripada pasukan dari utara (Kedah, KSMR Kangar, Pulau Pinang); timur (Kelantan, Pahang Rangers, Terengganu); ATM, PDRM dan pasukan universiti (KPT-PST Mustangs).

Manakala Kumpulan B pula diisi pasukan dari Lembah Klang (Shah Alam City, Selangor MAC, Selangor TOT, KL City, Kuala Lumpur); selatan (Negeri Sembilan, JDT), Sabah dan Sarawak.

Sepak mula pertandingan dijadual pada bulan Februari dan berakhir pada bulan Julai.