JDT Beri Peluang Pemain Muda Tempatan ‘Terbang Tinggi’ Di Asia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi platform kepada pemain muda tempatan untuk menyinar di pentas tertinggi bola sepak Asia.

Skuad Harimau Selatan menjadi wakil tunggal untuk membawa nama Malaysia beraksi dalam kancah AFC Champions League Elite (ACLE) bersama 11 lagi pasukan dari Korea Selatan, Jepun, China, Australia dan Jepun.

Pasukan bimbingan Hector Bidoglio memperagakan persembahan yang amat memberangsangkan selepas mengikat wakil China, Shanghai Port dengan keputusan 2-2.

Dua gol JDT telah dijaringkan oleh Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia, Arif Aiman Hanapi untuk memastikan pasukan memperoleh mata pertama di Asia.

JDT juga memberikan kepercayaan penuh kepada pemain tempatan yang berkualiti untuk membantu pasukan bersaing secara kompetitif di ACLE.

Pasukan Milik Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor telah menyenaraikan 10 pemain tempatan dalam skuad berdepan Shanghai Port dengan tiga daripada berusia kurang daripada 24 tahun.

Pendedahan yang diberikan oleh JDT berdepan pasukan hebat di Asia ini amat penting bagi membantu perkembangan pemain muda pada masa hadapan.

Persaingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama JDT juga menjadi salah satu tonik buat pemain tempatan untuk terus bekerja keras bagi menyaingi kualiti pemain import dalam pasukan.

Suasana kompetitif dalam bilik persalinan ini juga secara tidak langsung membina karakter pemain yang lebih kental bermula wisel permainan ditiup hingga tamat permainan di atas padang.

Kemajuan memberangsangkan ini juga menyaksikan juara Piala FA 2024 ini menghuni tangga ke-7 Asia dan menghampiri kedudukan pasukan Korea Selatan, Ulsan HD.

Ujian berikutnya buat JDT adalah berdepan wakil China, Shanghai Shenhua pada 1 Oktober di Stadium Sultan Ibrahim jam 9 malam.