“JDT Bertuah Miliki Tunku Ismail” – Xisco Munoz
MakanBola
Johor Southern Tigers

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tampil menzahirkan penghargaan buat Pemilik Kelab, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor yang dianggap sebagai faktor utama di sebalik kejayaan dicapai kelab itu.

JDT kini meneruskan dominasi dalam saingan arena bola sepak Malaysia apabila sah ditabalkan sebagai juara Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut beberapa minggu lalu.

Konsistensi tersebut turut diteruskan di pentas Piala Malaysia apabila pasukan Harimau Selatan kini selangkah mara ke final selepas mengalahkan KL City 4-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama Jumaat lalu.

Xisco Munoz dalam satu kenyataan meluahkan rasa bertuah dapat bekerjasama bersama sosok pemimpin seperti DYAM Tunku Ismail yang memiliki visi jangka panjang, seolah-olah sudah berada jauh ke hadapan.

“Jika saya beritahu anda apa yang saya fikirkan, kami sangat bertuah kerana memiliki seorang ketua (DYAM Tunku Ismail) yang berpandangan jauh seperti sudah berada di tahun 2050 atau 2055.”

Impian besar DYAM Tunku Ismail telah memacu kemajuan JDT dalam segenap aspek, didorong oleh hasrat Baginda untuk memastikan pasukan dan para pemain sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Baginda memajukan bola sepak, kelab dalam semua situasi. Baginda mahu yang terbaik untuk pasukan setiap hari.

“DYAM Tunku Ismail sentiasa mahukan yang terbaik untuk pemain dan bola sepak, serta mahu cuba mencapai tahap yang tertinggi.

“Kami sentiasa mempunyai impian yang besar. Saya bertuah dengan situasi ini dan gembira bekerja dengan Pemilik Kelab seperti Baginda yang memiliki impian besar.

“Saya tahu di sebalik semua ini terdapat kerja keras yang banyak. Kami bertuah berada di saat ini untuk menikmati situasi ini,” ujar Xisco Munoz.

Selain mendominasi saingan domestik, JDT di bawah kepimpinan DYAM Tunku Ismail kini mengorak sejarah di pentas Asia apabila mara ke suku akhir AFC Champions League Elite (ACLE).

Sejarah baharu itu bakal menyaksikan JDT akan terbang ke Arab Saudi untuk turun berdepan pemenang antara Al-Ahli atau Al-Duhail pada 17 April hadapan.