Hari perlawanan minggu ke-10 Liga Super menyaksikan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) terus unggul dari segi rekod kehadiran tertinggi.
Ini selepas aksi antara Harimau Selatan dan Penang FC pada 12 September lalu menyaksikan kehadiran seramai 13,975 orang di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Rekod ini turut menyaksikan SSI merekodkan kehadiran konsisten melebihi 10,000 orang untuk setiap aksi liga JDT sejak dari aksi pertama liga.
Lebih 13,000 penyokong menyaksikan JDT meraih kemenangan 5-0 ke atas skuad Harimau Kumbang. Dua gol daripadanya disumbang penggempur baru pasukan itu dari Colombia, Jorge Obregon.
Kehadiran kedua tertinggi aksi minggu ke-10 direkodkan dalam aksi membabitkan Sabah FC dan Terengganu FC pada 15 Ogos lepas. 5,602 orang menyaksikan Sang Badak mengikat Peteh 1-1.
Meskipun hanya meraih satu mata, ramai penyokong Sabah teruja melihat peledak baru pasukan itu, Joao Pedro. Ini selepas bekas penyerang Viettel itu menyumbat gol sulungnya di Stadium Likas.
Seterusnya, Selangor merekodkan kehadiran ketiga tertinggi untuk aksi minggu ke-10. Pasukan itu merekodkan kehadiran 5,422 orang dalam aksi menentang Kuching City FC di Stadium MBPJ pada 13 Ogos lalu.
Ramai penyokong Merah Kuning bukan saja teruja melihat pasukan itu membelasah The Cats 4-0. Malah, mereka ceria melihat penyerang Jordan, Ali Olwan membuka akaun golnya dalam perlawanan sama.
Dua perlawanan mencatatkan kehadiran melebihi 1,000 orang iaitu aksi KL City FC-Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan aksi Sri Pahang FC-PDRM FC.
Kedua-dua perlawanan itu masing-masing merekodkan kehadiran 1,182 dan 1,344 orang penyokong. Kedua-dua aksi itu turut menyaksikan KL City dan Sri Pahang meraih kemenangan besar ke atas lawan masing-masing.
Satu-satunya perlawanan yang merekodkan kehadiran tiga angka ialah aksi antara Negeri Sembilan FC dan Perak FC pada 14 September lalu.
Aksi yang diadakan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi itu menyaksikan The Bos Gaurus meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Sang Rusa. Perlawanan ini turut menyaksikan Clayton membuka akaun golnya bersama Perak.
Selepas ini, aksi liga yang seterusnya bakal diadakan pada 20, 21 dan 22 September. Hanya lima perlawanan dilangsungkan dengan aksi Terengganu-Selangor ditangguhkan ke 28 September.