Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus melebarkan sayap dalam dan luar padang apabila berupaya untuk mencipta peluang perniagaan impak tinggi.
Skuad Harimau Selatan terkenal dengan keupayaan hebat di atas padang dengan pelbagai siri kejayaan telah dikecapi dalam tempoh sedekad ini.
Usaha itu kini telah dikembangkan apabila pelbagai jenama antarabangsa sudah mula menjalinkan kerjasama dengan JDT seperti Nike, Ikea, Subway dan lain-lain.
Kerjasama strategik dan berfasa hasil visi hebat Pemilik Kelab JDT, Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor ini membuktikan JDT memiliki perancangan tersendiri untuk menapak lebih tinggi.
Bukan itu sahaja, kerjasama terancang ini boleh dilihat pergerakannya seperti Ikea sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan akhirnya membuka cawangannya di Stadium Sultan Ibrahim.
Beberapa nama besar seperti Subway, KFC, Woodfire dan juga Starbucks menerima sambutan luar biasa ketika hari perlawanan di SSI sekaligus memberikan keuntungan berlipat ganda buat jenama-jenama ini.
Tidak mustahil, perancangan tersusun hasil manifestasi DYAM Tunku Ismail ini bakal berubah ke arah penajaan secara terus buat pasukan suatu hari nanti.
JDT dilihat tidak terburu-buru untuk menjalinkan kerjasama dengan jenama-jenama besar sebaliknya melakukannya secara berperingkat untuk memberikan impak tinggi kepada mana-mana syarikat besar yang mahu bekerjasama.
Langkah tersusun ini membuatkan jenama JDT dipandang tinggi dan tidak mustahil bahawa lebih banyak jenama besar bakal menjalinkan kerjasama pada masa akan datang.
JDT juga menyediakan contoh terbaik kepada kelab lain di Malaysia bahawasanya kerjasama memerlukan strategi yang betul dan kesabaran sungguhpun memakan masa namun akhirnya membuahkan hasil yang lumayan.
Kebijasanaan strategi JDT ini wajar dijadikan panduan untuk kelab lain bagi membentuk kestabilan bukan sahaja kejayaan di atas padang malah membina empayar tersendiri di luar padang.