Nama Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi sebutan media Scotland baru-baru ini.
Ini disebabkan kelab itu bakal menjadi lawan terbaru kelab gergasi Scotland, Rangers dalam aksi yang berlangsung pada 16 Julai.
Antara media yang menyebut aksi pramusim antara Harimau Selatan dan The Light Blues di Sepanyol itu ialah Glasgow Times dan Rangers Review.
Sebelum menentang anak buah Xisco Munoz, Rangers yang dibimbing pengurus baharu, Derek McInnes sudah mengharungi tiga aksi pemanas badan.
Mereka meraih kemenangan 5-1 ke atas Raith Rovers dan 3-1 ke atas Dunfermline dalam dua aksi tertutup. Ini disusuli keputusan 1-1 dengan kelab Afrika Selatan, Kaizer Chiefs.
Seperti JDT, Rangers juga menjalani pramusim di Sepanyol sebagai persediaan menghadapi musim 2026/27. Rangers berharap dapat bangkit selepas hanya menduduki tempat ketiga Scottish Premiership musim lalu.
Perlawanan ini juga menjadi medan buat kedua-dua pasukan menurunkan pemain baharu masing-masing. Rangers dijangka memberi peluang kepada Lawrence Shankland membuat penampilan pertama dalam pramusim.
JDT pula membawa empat bintang baharu iaitu Shahab Zahedi, Dejan Petrovic, Brad Tapp dan Kevin Medina. Rangers antara sembilan pasukan yang akan dihadapi Harimau Selatan sepanjang berada di Sepanyol.