Advertisement
JDT Penuhi Impian Pesakit Cilik
Inspirasi
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pesakit cilik, Muhammad Rayyan Mikail Mohd Yazid amat bertuah kerana Johor Darul Ta’zim (JDT) FC merealisasikan dua impiannya yang terbuku dalam hati.

Dua impian tersebut ialah mengunjungi Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan bertemu dengan dua pemain pujaannya, Safiq Rahim dan Safawi Rasid.

Justeru, pada hari ini, JDT FC mengatur satu lawatan khas ke SSI dan sesi pertemuan dengan pemain-pemain buat Rayyan Mikail, 9. Lebih menarik, lawatan khas itu turut diiringi oleh Safiq dan Safawi.

Kisah Rayyan Mikail pernah dilaporkan dalam beberapa laporan media kerana menghidap pelbagai penyakit kronik seperti masalah saluran oksigen sempit, jantung berlubang dan saluran darah terbalik.

Lawatan ini turut disertai oleh ibu bapanya, Mohd. Yazid Lazim dan Annur Syakirah Mahazir serta dua adiknya, Nur Raisha Mikayla dan Nur Raihana Malaika.

Selain berpeluang melihat sendiri kemudahan moden yang dimiliki Harimau Selatan, Rayyan Mikail juga berpeluang berinteraksi dengan Safiq dan Safawi serta bergambar bersama mereka.

Annur Syakirah menyifatkan lawatan hari ini sebagai sesuatu yang bermakna buat puteranya itu. Lantas, beliau mengucapkan terima kasih kepada pengurusan JDT FC kerana sudi merealisasikan impian Rayyan Mikail.

“Terima kasih all JDT family yang sudi menerima kedatangan anak syurga kami. Salam sayang dari utara,” komennya dalam satu hantaran terbaru Johor Southern Tigers.

Lawatan khas hari ini merupakan usaha berterusan JDT FC untuk terus memberi sumbangan sosial bermakna kepada masyarakat.