JDT Racing Team terus garang melakukan persiapan bagi menghadapi saingan 2024.
Menerusi satu hantaran di media sosial rasmi pasukan, JDT Racing Team mengumumkan Loris Caroli dan Edoardo Ardemagni yang pernah berkhidmat bersama Ducati Racing Team bagi membantu persiapan pasukan.
“JDT Racing Team akan menyenaraikan dua mekanik daripada Ducati Racing Team untuk menyelia hal-hal teknikal menjelang persiapan Hafizh Syahrin untuk kejohanan FIM Asia Road Racing Championship 2024 yang akan bermula pada Mac,” tulis JDT Racing Team di kapsyen.
“Loris Caroli dari Itali adalah ketua krew bersama JDT Racing Team manakala Edoardo Ardemagni merupakan seorang mekanik.”
Loris Caroli merupakan seorang yang berpengalaman dalam arena permotoran dengan beberapa pasukan terkenal dunia manakala Ardemagnu pula mekanik yang berkhidmat lama bersama Team Ducati.
“Caroli mempunyai pengalaman luas sebagai Senior Operator Pengujian dan Kejuruteraan Trek di beberapa jenama sukan permotoran termasuk Ferrari S.P.A, Clinica della Moto, Team VFT dan HPE S.r.l.”
“Ardemagni juga merupakan mekanik untuk Barni Racing Team Ducati di Itali.”
JDT Racing Team dijangka membuat penampilan pertama di Litar Antarabangsa Chang, Thailand untuk aksi pusingan pertama ARRC musim 2024 dengan pusingan pertama bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Mac ini.