Pelumba tersohor tanah air, Hafizh Syahrin sudah mula turun menjalani latihan bersama pasukan baharunya, JDT Racing Team.
Menerusi hantaran di media sosial rasmi JDT Racing Team, Hafizh Syahrin dan pasukannya dilihat sedang mempersiapkan jentera terbarunya dengan begitu rapi bagi menghadapi kejohanan terdekat bagi musim 2024.
”Hari pertama melakukan ujian (jentera dan litar),” ujar JDT Racing Team di kapsyen.
Berdasarkan beberapa imej yang dikongsikan pasukan itu, jentera Ducati Panigale V4R menjadi pilihan Hafizh dan JDT Racing Team untuk digunakan bagi saingan 2024 ini.
Di dalam hantaran yang sama, kelihatan Hafizh Syahrin sedang menjalani ujian litar bersama jentera baharunya yang bewarna hitam itu beserta nombor 55 yang sinonim dengan Hafizh.
Hafizh yang kini bersama JDT Racing Team pasukan yang baru ditubuhkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor bakal menjadikan saingan Asian Road Racing Championship (ARRC) ini sebagai medan untuk melayakkan diri ke Superbike World Championship (SBK) kelak.
Pumba berusia 30 tahun ini dijangka melakukan penampilan sulung bersama pasukan baharunya ini di Litar Antarabangsa Chang, Thailand untuk aksi pusingan pertama ARRC musim 2024.
Pusingan pertama kejohanan dijadualkan bakal berlangsung dari 15 hingga 17 Mac ini.