Kelab gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) meraikan kejayaan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan cara mereka yang tersendiri.
JDT turun menanti kunjungan Terengganu dalam perlawanan separuh akhir pada Sabtu setelah cemerlang meraih bekalan selesa 4 gol ketika aksi pertama di Gong Badak sebelum ini.
Seperti diramal, JDT tampil cemerlang mendahului di babak pertama hasil sentuhan berbisa Heberty yang menewaskan penjaga gawang Terengganu, Syed Nasrulhaq pada minit ke-32.
Terengganu bangkit menyamakan kedudukan 1-1 di babak kedua menerusi Ismaheel Akinade sebelum Heberty sekali lagi menjadi wira JDT dengan jaringan kemenangan di lewat aksi.
Menerusi satu hantaran oleh Johor Southern Tigers, para pemain dan staf JDT telah meraikan kejayaan ini bersama Pemilik Kelab, DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor dalam satu sesi makan malam.
Sesi makan malam tersebut berjalan lancar dengan rata-rata pemain dilihat turut serta bagi meraikan rekod hebat apabila JDT berjaya melayakkan diri ke final Piala Malaysia untuk kali ke-5.
Selain pemain dan juga pemilik kelab, kelihatan juga kelibat Menteri Besar Johor, Yang Amat Berhormat Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi turut hadir di dalam sekeping foto yang dimuat naik malam itu.
JDT dijadualkan berdepan pemenang di antara Sri Pahang vs Sabah yang akan bertemu dalam satu lagi aksi separuh akhir pada Ahad di Stadium MP Temerloh.