JDT Rekod 100 Gol Kali Kedua
MakanBola
Johor Southern Tigers

Musim 2025/26 menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) merekodkan 100 gol buat kali kedua dalam sejarah Liga Super.

JDT melepasi angka tersebut dengan membelasah Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 14-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) baru-baru ini. Keputusan ini menyaksikan JDT menamatkan musim dengan 117 gol.

Apa yang menarik ialah angka tersebut dicapai buat kali pertama pada musim 2023. JDT yang ketika itu dibimbing Esteban ‘Tano’ Solari merekodkan 100 gol dengan membelasah Penang FC 7-0 dalam perlawanan terakhir musim tersebut.

Daripada 100 gol, Bergson da SIlva dan Fernando Forestieri masing-masing meledakkan 21 dan 19 gol. Arif Aiman Hanapi pula menyumbang 12 gol.

Meskipun merekodkan kemenangan besar pada musim 2023, Harimau Selatan era Solari hanya merekodkan keputusan satu angka. Ini berbeza dengan musim 2025/26 apabila JDT merekodkan keputusan dua digit sebanyak dua kali.

Selain Kelantan TRW, satu lagi pasukan yang dibolosi sebanyak dua angka ialah DPMM FC. DPMM tewas 10-0 kepada JDT di SSI pada 25 Oktober lalu.

Ini menunjukkan JDT di bawah bimbingan jurulatih Sepanyol, Xisco Munoz cukup klinikal di depan gol. Hal ini turut disokong dengan rekod jaringan Bergson musim ini iaitu 27 gol.

Beliau mengatasi Chrigor Moraes yang merekodkan 23 gol. Selain menerajui carta penjaring terbanyak liga, ini juga memperlihatkan kredibiliti Bergson sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super.

Selain bekas penyerang Fortaleza itu, rakan senegara beliau iaitu Jairo da Silva turut menyumbang 14 gol buat JDT dalam Liga Super musim ini.