Advertisement
JDT Sambut Baik Kedatangan Jurgen Klinsmann
Asia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Aksi ACL membabitkan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Ulsan Hyundai semalam turut disaksikan oleh jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann.

Selepas kehadiran beliau didedahkan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom semalam, ramai tercari-cari kelibat beliau sekitar Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Hari ini, JDT memuatnaik beberapa gambar bekas penyerang Jerman itu tiba di SSI menerusi laman media sosial Johor Southern Tigers.

Ketibaan beliau disambut oleh CEO Harimau Selatan, Alistair Edwards. Klinsmann menghadiri perlawanan semalam bagi meninjau barisan pemain The Tigers yang beraksi.

Mengikut senarai terbaru skuad Korea Selatan, lima daripadanya merupakan pemain Ulsan Hyundai. Mereka ialah penjaga gol Cho Hyun-woo dan kuartet pertahanan Kim Young-kwon, Jeong Seung-hyun, Kim Tae-hwan dan Seol Young-woo.

Selain meninjau kemampuan lima pemain ini, tidak mustahil Klinsmann menggunakan perlawanan ini untuk mengukur tahap kekuatan Harimau Malaya.

Ini kerana majoriti pemain kebangsaan beraksi untuk JDT termasuk Syihan Hazmi Mohamed, Arif Aiman Hanapi dan Akhyar Rashid.

Selepas melihat keupayaan Harimau Selatan membenam Ulsan semalam, Klinsmann pastinya akan lebih berwaspada dengan keupayaan skuad negara terutama dalam aksi Piala Asia 2023.

Turut mengiringi Klinsmann dalam misi tinjauan ini ialah penolong jurulatih Pahlawan Taeguk, Cha Du-ri.

Du-ri merupakan bekas ahli pasukan Korea Selatan yang meraih tempat keempat Piala Dunia 2002.

Disebabkan beliau banyak beraksi di luar negara semasa bergelar pemain profesional, Du-ri fasih bertutur dalam beberapa bahasa termasuk Bahasa Inggeris dan Bahasa Jerman.

Selain Klinsmann, jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon juga berada di SSI semalam.

Beliau dikatakan memerhati kemajuan anak-anak buahnya dari JDT sebelum mereka menyertai kem Harimau Malaya pada 10 November ini.