JDT Terus Lakar Sejarah, Catat Rekod Baharu
MakanBola
Johor Southern Tigers

Statistik dilakar Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mencatatkan satu rekod baharu dalam sejarah Liga Malaysia.

JDT kini berada dalam momentum terbaik selepas cemerlang melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia 2025-2026 apabila tidak berdepan masalah untuk mengatasi PDRM 11-1 secara agregat.

Kemenangan besar yang diraih oleh skuad Harimau Selatan tersebut terus menjadi tumpuan ramai ketika mana statistik jaringan JDT terus meningkat dan sudah pun melebihi 100 gol setakat ini.

Berdasarkan perkiraan semasa, JDT telah mencatatkan 103 gol musim ini dalam semua kejohanan domestik melibatkan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super serta Piala Malaysia yang masih berlangsung kini.

Menariknya, ini merupakan musim keempat berturut-turut JDT mencatat lebih 100 gol di pentas domestik sejak musim 2022 sekali gus membuktikan konsistensi ketajaman jentera serangan pasukan.

Dalam 3 musim terdahulu, JDT telah merekodkan 105 gol pada musim 2022, 151 gol pada musim 2023 dan 137 gol pada musim 2024/25 ketika mana saingan musim ini masih lagi berlangsung.

Rekod hebat ini meletakkan JDT sebagai satu-satunya kelab dari Malaysia yang berjaya menjaringkan lebih 100 gol dalam kejohanan domestik Liga Malaysia selama 4 musim berturut-turut.

Statistik jaringan ini dijangka bakal terus bertambah seiring langkah JDT yang akan meneruskan kemaraan di peringkat suku akhir Piala Malaysia serta baki 9 perlawanan Liga Super.