Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan Sri Pahang FC di pentas final Unifi Piala Malaysia 2024/25.
Harimau Selatan mengesahkan kemaraan ke final selepas menyingkirkan juara edisi 2001, Terengganu FC di peringkat separuh akhir.
Kemaraan mereka disahkan dengan meraih kemenangan 2-1 ke atas Peteh dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 2 Februari lalu.
Dua gol Heberty Fernandes memastikan 23,081 penyokong Harimau Selatan ceria meraikan kemaraan ke final Unifi Piala Malaysia buat kali kelima berturut-turut. Ismaheel Akinade menyumbat gol saguhati buat Terengganu.
Sri Pahang pula mara ke final buat kali kesembilan dalam sejarah kejohanan. Mereka dipaksa bekerja keras sebelum akhirnya menewaskan Sabah FC dalam aksi separuh akhir kedua.
Kedua-dua pasukan sebelum itu terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Likas pada 18 Januari lalu.
Gol sendiri Park Tae-soo memberi kelebihan awal kepada Tok Gajah pada babak kedua. S. Kumaahran memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan menerusi gol penyamaan buat Sang Badak.
Tatkala perlawanan seakan menuju ke penentuan sepakan penalti, Kpah Sherman muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan buat Sri Pahang.
Aksi final Unifi Piala Malaysia membabitkan JDT dan Sri Pahang bakal berlangsung pada 26 April ini.