Advertisement
Jeonbuk Hyundai Lantik Bekas Jurulatih Chelsea Selaku Penasihat Teknikal
Dunia
MakanBola
UEFA Champions League

Kelab gergasi Korea, Jeonbuk Hyundai Motors terus memperkasa struktur pengurusan mereka. Selepas melantik legenda Manchester United, Park Ji-sung sebagai pengarah teknikal mereka, Jeonbuk membawa masuk bekas pengurus Chelsea, Roberto Di Matteo sebagai penasihat teknikal kelab itu.

Berita perlantikan ini disahkan oleh ketua editor portal K-League United, Matthew Binns di Twitter hari ini.

Di Matteo merupakan bekas pemenang Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Chelsea pada 2012. Dia bagaimanapun bertahan selama lapan bulan sebelum dipecat pada November 2012 dan digantikan oleh Rafa Benitez.

Selain Chelsea, legenda Blues itu juga pernah mengendalikan West Bromwich Albion, Aston Villa, Schalke O4 dan MK Dons. Dengan perlantikannya sebagai penasihat teknikal, Di Matteo bakal bekerjasama rapat dengan Ji-sung dalam pelbagai aspek termasuk perpindahan pemain dan skuad remaja.

Bekas pemain PSV Eindhoven itu melihat kehadiran bekas pemain Lazio itu dapat memberi banyak nilai tambah kepada juara sembilan kali Liga Korea 1 itu. “Di Matteo memiliki banyak pengalaman dan dapat memberi seberapa banyak bantuan kepada staf kejurulatihan kami,” katanya selepas dihubungi agensi berita Yonhap.

Di Matteo dijangka mengadakan pertemuan dengan pengurusan Jeonbuk termasuk Ji-sung semasa kem latihan pra-musim mereka di Sepanyol pada awal Februari ini.