Advertisement
Johan Ghazali: Sapa Cakap Gaji Aku RM1 Juta?
UltraSukan
UltraSukan
Johan Ghazali

Jaguh Muay Thai negara, Johan Ghazali menafikan khabar angin berkenaan gaji yang diterima adalah berjumlah RM1 juta.

Nama Johan atau lebih mesra disapa Jojo itu mula menjadi sebutan peminat setelah berjaya menumpaskan Padetsuk Fairtex ketika saingan ONE Championship dalam tempoh 16 saat.

Ini disusuli kejayaan menumbangkan jaguh Muay Thai Russia, Temiran Bekmurzaev pada Oktober 2023 di Bangkok yang menyaksikan beliau menerima kontrak sebanyak AS$100,000 (RM448,000).

Populariti Johan terus meningkat apabila mengejutkan juara Muay Thai antarabangsa Majlis Tinju Sedunia Edgar Tabares pada Disember 2023 yang lalu dalam tempoh 36 saat.

Malah, kejayaan menumbangkan wakil Mexico, Josue Cruz pada September juga membolehkan Jojo menerima bonus sebanyak RM220,000 oleh Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong.

Satu demi satu kejayaan diraih oleh Jojo menyebabkan para peminat mula tertanya-tanya tentang wang pendapatan yang diterima daripada sukan Muay Thai ini.

Menerusi sesi soal jawab di Instastory peribadi Johan, salah seorang pengikut bertanya mengenai cara pembayaran gaji yang diterima sama ada dibayar secara penuh atau ansuran.

”Assalamualaikum, gaji 1 juta dia bayar penuh atau bulanan?” tanya salah seorang pengikut yang tidak diketahui di ruangan soalan.

Instastory Johan Ghazali Johan Ghazali: Sapa Cakap Gaji Aku RM1 Juta?
Instagram: johanghazali_

Jojo dengan penuh bersahaja menjawab pertanyaan tersebut dengan riak wajah terkejut tatkala membaca jumlah gaji yang mencecah 7 angka yang ditanyakan oleh pengikut beliau itu.

Dalam masa yang sama, Jojo turut bertanyakan semula dari mana sumber mengenai perkhabaran gaji yang diterima itu dan sempat berharap bagi memperoleh pendapatan sebesar itu.

”Waalaikumussalam, siapa yang cakap gaji aku RM1 juta ni?” respons bersahaja Johan dalam satu video di Instastory.

”Aku pun nak juga gaji RM1 juta, siapa yang cakap ni?” soal Johan semula dengan riak wajah terkejut.