Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim, Jordi Amat dan pemain KV Mechelen, Sandy Walsh telah sah menjadi warganegara Indonesia hari ini. Perkara ini disahkan oleh PSSI di laman sosial Facebook milik PSSI itu.
Jordi Amat dan Sandy Walsh telah mengangkat sumpah janji setia pewarganeraan yang berlangsung sebentar tadi di Jabatan Wilayah Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Jakarta, Cawang. Majlis tersebut juga disaksikan secara langsung oleh Pengerusi PSSI, Mochamad Iriawan.
Semasa dalam proses mengangkat sumpah, Sandy dan Jordi dilihat tenang menyanyikan lagu Indonesia Raya. Ini mungkin hasil daripada mereka membuat persiapan awal untuk menghafal lagu tersebut sebelum majlis.
Setelah selesai majlis angkat sumpah tersebut, Sandy dan Jordi telah menerima sedikit nasihat daripada Ketua Pejabat Wilayah Jakarta Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia.
Kini dengan kehadiran kedua-dua pemain ini akan menjadi tunjang utama bagi membantu dan memperkuat skuad kebangsaan Indonesia mencapai misi yang lebih besar kelak.
Dalam pada itu, mereka juga dijangka akan diturunkan pasukan merah putih ini menjuarai Piala AFF 2022. Mengikut data yang diberikan kepada orang ramai, Sandy dan juga Jordi telah menjadi pemain naturalisasi yang ke-36 dan ke-37 yang telah berjaya dinaturalisasikan buat masa ini.