Advertisements
Juara Liga Super Bakal Menerima RM2.4 Juta
MFL
MakanBola
Malaysian Football League

Pasukan-pasukan Liga Super bakal mendapat durian runtuh musim ini. Ini selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan peningkatan agihan pendapatan sebanyak 96.55% berbanding agihan yang diterima pada tahun lepas.

Buat kali pertama, MFL memperkenalkan agihan secara merit di mana agihan diberi kepada pasukan mengikut kedudukan dalam Liga Super. Juara bakal menerima RM2.4 juta dengan pasukan tercorot menerima RM600,000.

Pada musim lepas, kelab-kelab Liga Super hanya menerima agihan sama rata berjumlah RM500,000. Sementara hanya tiga kelab yang menduduki kedudukan teratas liga yang berpeluang menerima wang tunai tambahan.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, pengenalan agihan secara merit ini mampu membakar semangat kepada pasukan-pasukan untuk mengejar kedudukan terbaik dalam Liga Super. Malah, ia juga disifatkan lebih adil kepada semua pasukan yang bertanding.

“Sistem agihan pendapatan berdasarkan merit ini sudah dibentangkan kepada semua Rakan Kongsi Liga dalam pertemuan bersama CEO-CEO kelab Liga Malaysia pada 15 Februari 2023 di mana sistem agihan pendapatan ini dilihat lebih adil buat kelab-kelab yang mempamerkan prestasi cemerlang pada sepanjang musim Liga Malaysia 2023.

“Pembentangan itu mendapat reaksi cukup baik dan mereka menerima cadangan agihan pendapatan berdasarkan merit untuk diperkenalkan tahun ini,” katanya.

Hal ini turut dipersetujui oleh Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan. Dengan pengagihan pendapatan yang lebih saksama kepada semua pasukan, ia akan mendorong pasukan-pasukan untuk bersaing dalam liga sekaligus merancakkan lagi kemeriahan Liga Super musim ini.

“MFL melihat sistem agihan pendapatan ini akan menggalakkan semua kelab bersaing hebat bagi mendapatkan kedudukan terbaik sekali gus menerima lebih banyak pendapatan.

“Adalah tanggungjawab MFL sebagai badan pengelola liga untuk berusaha meningkatkan pendapatan kelab-kelab dan kami percaya dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat serta rakan penyiar, Liga Malaysia dapat terus dikomersialkan bagi meningkatkan pendapatan kelab-kelab,” ujarnya.