Ketua jurulatih Filipina, Carles Cuadrat mengakui lega apabila Malaysia tidak mencipta banyak peluang walaupun lebih menguasai permainan dalam aksi terakhir Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026.
Malaysia tetap berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B.
Cuadrat berkata, Harimau Malaya mempunyai penguasaan bola dan kawalan permainan yang baik, namun tidak banyak menghasilkan peluang jelas untuk menambah jaringan.
“Kalau anda lihat, Malaysia mempunyai penguasaan dan pengurusan permainan yang baik, tetapi mereka tidak mencipta banyak peluang. Saya rasa hanya satu peluang pada separuh masa pertama dan kemudian mereka menjaringkan gol,” jelas Cuadrat dalam sesi sidang media selepas perlawanan.
Menurutnya, Filipina juga mempunyai peluang untuk mengubah keputusan perlawanan selepas ketinggalan, namun beberapa percubaan mereka gagal menghasilkan gol penyamaan.
“Pada separuh masa kedua, hanya ada satu peluang yang kami selamatkan berhampiran garisan. Jadi, ia adalah perlawanan yang sangat kompetitif dan bukan satu kemenangan besar untuk Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Cuadrat turut mengakui faktor kepenatan memberi kesan kepada pasukannya selepas mengharungi jadual padat sepanjang kempen, namun tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya yang majoritinya masih muda
“Saya tidak pernah melihat perkara seperti ini (jadual padat) sebelum ini. Saya sudah melatih selama 20 tahun dan tidak pernah melihat begitu banyak perjalanan serta bermain empat perlawanan selepas hanya tiga atau empat hari.
“Saya gembira dengan pembelajaran yang diperoleh pemain daripada perlawanan ini. Ramai pemain kami berusia 19 atau 20 tahun dan pengalaman seperti ini pasti akan membantu kami pada masa hadapan,” katanya lagi.
Malaysia kini akan bertemu Vietnam pada aksi separuh akhir ASEAN Hyundai Cup 2026. Separuh akhir pertama akan berlangsung di Malaysia pada Ahad, 16 Ogos 2026, manakala aksi kedua dijadualkan berlangsung di Vietnam pada Rabu, 19 Ogos 2026.