ASEAN Hyundai Cup: Malaysia Tepati Ramalan Ke Separuh Akhir, Filipina Tumbang
MakanBola
Malaysia National Team

Malaysia mengesahkan tiket ke separuh akhir ASEAN Hyundai Cup selaku naib juara Kumpulan B dengan menewaskan Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Malaysia memerlukan kemenangan untuk memastikan tiket separuh akhir dalam genggaman. Filipina pula berharap dapat menutup kempen kejohanan di peringkat kumpulan dengan kemenangan.

Seperti dijangka, pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe membuat perubahan dalam kesebelasan utama menentang The Azkals.

Alif Ahmad, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal dan Faris Danish Asrul dibawa masuk menggantikan Endrick dos Santos, Jimmy Raymond dan V. Ruventhiran. Bekas bek tengah Penang FC, Christian Rontini mengetuai benteng Filipina.

Sebaik perlawanan bermula, Filipina menggunakan formasi 3-4-3 dengan tujuan menyekat taktik 4-3-3 yang digunakan Cheng Hoe.

Meskipun begitu, benteng pelawat kerap dicemaskan dengan serangan yang digerakkan kapten, Paulo Josue, G. Pavithran, Mohamadou Sumareh dan Kuzain.

Gawang Filipina yang dikawal Patrick Deyto bocor pada minit ke-16. Kuzain membuat hantaran deras yang ditanduk Pavithran untuk gol pertamanya bersama Harimau Malaya.

Tersentak, The Azkals yang dibimbing Carles Cuadrat cuba bangkit memburu gol penyamaan. Percubaan terbaik mereka hadir pada minit ke-34 menerusi Javier Mariona tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Harimau Malaya, Azri Ghani.

Skuad negara berusaha mencari gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Filipina membuat perubahan pemain dengan memasukkan pemain baharu Star City FC, Noah Leddel dan Jaime Rosquillo menggantikan Mariona dan Daisuke Sato.

Cuadrat terpaksa mengeluarkan Mariona selepas pemain muda Filipina itu mengalami kecederaan akibat terjahan keras Aliff Haiqal Lau.

Cheng Hoe pula memilih memasukkan Syafiq Ahmad sebagai pengganti Aliff Haiqal. Keputusan itu diambil kerana pemain Penang FC itu sudah mengutip satu kad kuning.

Malaysia terus meningkatkan tekanan ke atas Filipina ditambah dengan sokongan padu 12,734 ‘Ekor’ Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Bek tengah Kuching City FC, Rodney Celvin Akwensivie hampir menggandakan kelebihan kem negara pada minit ke-68. Malangnya, percubaan beliau berjaya diselamatkan Deyto.

Harimau Malaya terus memburu gol tambahan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Tiket separuh akhir sah menjadi milik Malaysia selaku naib juara Kumpulan B.

Thailand pula mara selaku juara Kumpulan B. Skuad Gajah Perang yang dibimbing Anthony Hudson menutup kempen kumpulan dengan kemenangan apabila menewaskan Myanmar.

Sofascore memilih Pavithran sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.9. Beliau mengatasi rakan sepasukan, Sergio Aguero dengan kelebihan 0.4 mata.

Separuh akhir ASEAN Hyundai Cup menyaksikan Malaysia akan menentang juara bertahan, Vietnam. Thailand pula dijadual bertemu Singapura dalam satu lagi aksi separuh akhir.