Jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sedia mempertaruhkan khidmat pemain tengah Sporting JAX, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal menjelang aksi terakhir Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup menentang Filipina.
Hal ini dinyatakan bekas jurulatih Selangor FC itu apabila ditanya tentang kemungkinan menurunkan Wan Kuzain untuk membentuk kombinasi baharu di bahagian tengah skuad negara.
Sebelum ini, Cheng Hoe memilih menurunkan pemain Penang FC, Aliff Haiqal Lau dalam aksi ketiga kumpulan menentang Thailand pada 1 Ogos lalu.
Aliff Haiqal dibawa masuk sebagai pengganti Endrick dos Santos yang terpaksa berehat akibat kecederaan ligamen medial kolateral (MCL). Aksi itu menyaksikan beliau bergandingan dengan Syafiq Ahmad dan Sergio Aguero di bahagian tengah.
Meskipun begitu, kemasukan Kuzain sebagai pemain gantian dalam dua aksi sebelumnya dilihat memberi impak besar kepada Harimau Malaya terutama dari segi serangan.
Atas sebab itu, Cheng Hoe tidak menolak membentuk kombinasi baharu di bahagian tengah dengan Kuzain berpotensi beraksi dalam kesebelasan utama.
“Harapnya semua pemain telah bersedia (untuk perlawanan ini). Dan pada masa sama, kita tahu Wan Kuzain beradaptasi dengan baik bersama pasukan, beliau juga beraksi dengan bagus.
“Kita lihat bagaimana sama ada bermula dengan kesebelasan yang sama atau membuat sedikit perubahan,” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Cheng Hoe turut mendedahkan pemain baharu Star City FC, Engku Nur Shakir Engku Yacob tidak dapat turun menjalani latihan kerana mengalami sedikit kecederaan lutut.
“Shakir tidak berlatih dengan pasukan baru-baru ini kerana beliau mengalami sedikit masalah kecederaan pada lututnya,” tambahnya.
Bekas jurulatih Police Tero itu berharap Engku Shakir sempat pulih menjelang aksi menentang Filipina pada 8 Ogos ini. Skuad negara dijangka mendapat sokongan padu ‘Ekor’ Harimau Malaya di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada tarikh tersebut.