Jurulatih Kelantan Seru Pemain Berbakat Munculkan Diri
Liga M3
TRW Kelantan FC
Advertisements

Kelab Liga A1 Semi Pro, Kelantan FC bakal melancarkan proses pemilihan pemain untuk membawa cabaran pasukan itu dalam musim 2024/25.

Atas sebab itu, jurulatih Kelantan, Manja Man menyeru pemain-pemain berbakat di luar sana agar hadir dan menyertai proses pemilihan berkenaan.

Manja melihat kehadiran pemain baru penting buat The Red Warriors kerana ini dapat memudahkan persiapan pasukan menjelang musim 2024/25.

Advertisements

Meskipun sedar tentang isu sekatan perpindahan yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), beliau tidak melihat itu sebagai halangan buat Kelantan.

“Saya mahu buat pemilihan pemain baru untuk Kelantan FC, sama ada sekatan perpindahan lepas atau tidak, saya mahu pemain berbakat hadir pada sesi pemilihan nanti.

“Saya mahu buat persiapan pasukan. Anda berbakat, temui saya (dalam) sesi pemilihan nanti!” katanya di platform Instagram TRW Kelantan FC.

Advertisements

Sebelum ini, Kelantan merupakan sebahagian daripada enam pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang dikenakan sekatan perpindahan FIFA.

Selain Kelantan, Sarawak United FC, Perlis United FC, Melaka United FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan KL City FC turut menerima nasib sama.

Walau bagaimanapun, sekatan perpindahan yang dikenakan ke atas Kedah dan KL City telah ditarik balik oleh FIFA.

Advertisements

Dengan sekatan perpindahan FIFA masih berkuatkuasa, ini akan memberi kesukaran kepada The Red Warriors untuk mendaftarkan pemain baru.

Situasi Kelantan tidak dibantu dengan pasukan itu diberi tempoh sehingga 8 Mei ini oleh Liga Bolasepak Amatur (AFL) untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 20 pemain.

Hal ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad. Ini kerana pendaftaran 20 pemain merupakan sebahagian daripada syarat pertandingan yang dikelola AFL.

Advertisements

Sekiranya Kelantan gagal berbuat demikian, Raimi memaklumkan kelab yang berpangkalan di Pantai Timur itu berdepan kemungkinan disingkirkan.

“Kita punya peraturan kena daftarkan 20 pemain minimum dan (kita tahu) Kelantan sekarang ini dikenakan sekatan. Kalau mereka tak boleh daftarkan pemain, kita akan pertimbangkan (untuk gugurkan Kelantan).

“Tempoh (pendaftaran pemain) jika diikutkan tempoh yang diberikan buat pasukan Kelantan adalah sehingga 8 Mei manakala pasukan lain ditutup pada 30 Mei.

“Kelantan kita beri (tarikh) awal supaya kita ada persediaan awal sekiranya mereka tak mampu cukupkan 20 pemain, jadi kita boleh gugurkan (Kelantan) sama ada dengan mencari pasukan ganti atau kekalkan 15 pasukan,” katanya kepada media selepas Majlis Penjenamaan Semula Nama dan Logo Pertandingan Anjuran AFL baru-baru ini.

Kelantan merupakan sebahagian daripada 16 pasukan yang akan bersaing dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim 2024/25.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram