Advertisement
Jurulatih KL Rovers Puas Hati Dengan Layanan Kelas Pertama Diberikan JDT
Piala Malaysia
MakanBola
KL Rovers

Pengendali Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers), Wan Mustaffa Wan Ismail akui berpuas hati dengan layanan kelas pertama yang diberikan pihak pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Wan Mustaffa berkata demikian selepas tamatnya perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Unifi Piala Malaysia di antara KL Rovers dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Rabu.

Jurulatih berpengalaman itu mengucapkan terima kasih buat pihak pengurusan JDT di atas kemudahan yang diberikan kepada pasukan KL Rovers yang kini sedang berdepan masalah kewangan.

Disebabkan masalah kewangan yang membelenggu mereka, KL Rovers sebagai tuan rumah terpaksa melupakan hasrat bermain di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dan bersetuju untuk beraksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bagi kedua-dua aksi pusingan 16 melibatkan kedua-dua pasukan.

Dalam aksi pertama pusingan 16 di SSI itu, KL Rovers terpaksa menelan kekalahan besar 0-3 kepada JDT yang mana menyaksikan pemain import dari Brazil, Heberty Fernandes meledak hatrik untuk memberi bekalan selesa buat JDT.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan, Wan Mustaffa gembira dengan layanan baik yang diberikan oleh JDT termasuk kemudahan padang latihan yang sempurna buat para pemain KL Rovers.

“Terima kasih kepada JDT di atas layanan baik diberikan termasuk kemudahan utama seperti padang latihan yang sempurna,” jelas Wan Mustaffa seperti yang dilaporkan Stadium Astro.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi dalam aksi timbal balik pada 30 November depan di venue yang sama iaitu di SSI.