Pertemuan derbi antara Malaysia menentang Singapura malam ini pasti menjadi tumpuan. Ini merupakan perlawanan kedua buat jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Selepas mencatat kemenangan menewaskan Filipina, pasukan negara dilihat sudah berubah dari segi corak permainan. Mereka dilihat lebih laju dan kreatif di atas padang.
Pengendali Singapura, Nazri Nasir juga mengakui bahawa corak permainan pasukan Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon sangat pantas.
“Ia sentiasa menjadi perlawanan yang istimewa apabila menentang Malaysia. Mereka mempunyai pemain yang pantas dan penyerang merbahaya yang perlu kita ambil perhatian. Ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” ujar Nazri kepada TST Sport.
Walaupun mengakui bakal berhadapan kesukaran, namun beliau percaya anak buahnya mempunyai kelebihan kerana beraksi selaku tuan rumah.
“Kami beraksi di laman sendiri (selaku tuan rumah) dan saya pasti pemain yang diturunkan tidak akan mengecewakan saya.” tambah Nazri lagi.
Untuk rekod, perlawanan terakhir kedua-dua pasukan adalah pada tahun 2019 dalam Kejohanan Piala Airmarine. Dalam perlawanan tersebut, Singapura menewaskan Malaysia (tuan rumah) dengan keputusan 1-0 di mana Nazri Nasir menjadi jurulatih Singapura ketika itu.