Jutawan Thailand, Khun Aiyawatt Srivaddhanaprabha mahu menjual Leicester City dengan harga £200 juta (RM1.11 bilion).
BBC Sport melaporkan khabar angin tentang penjualan kelab bekas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sudah muncul sejak Julai lalu.
Kini, pengedaran risalah produk tentang The Foxes oleh Citibank merupakan pengesahan jelas bahawa kelab itu kini mencari pemilik baru.
Mengikut maklumat risalah yang diedarkan, Khun Aiyawatt atau mesra disapa Top bukan saja mahu menjual skuad lelaki dan wanita Leicester serta aset-aset utama kelab termasuk Stadium King Power.
Malah, kelab Belgium, OH Leuven juga menjadi sebahagian daripada kelab yang turut dijual jutawan Thailand itu. Peminat bola sepak Thailand mengenali Leuven sebagai bekas kelab penyerang Gajah Perang, Suphanat Mueanta.
Leicester berdepan kerugian £180 juta (RM997 juta) selepas dua kali mengalami penyingkiran dari EPL pada 2023 dan 2025. Situasi ini tidak dibantu dengan kelab tersingkir ke Liga Satu (divisyen tiga England) pada akhir musim lalu.
Leicester juga berdepan situasi hutang yang serius termasuk hutang pinjaman bank sebanyak £103 juta (RM570.3 juta). Susulan itu, kelab telah menjual ramai pemain bagi menstabilkan semula kedudukan kewangan mereka.
Antara pemain yang telah dijual ialah Jeremy Monga, Abdul Fatawu dan Bilal El Khannouss. Monga yang berstatus graduan akademi The Foxes dijual kepada Manchester City dengan harga £10 juta (RM55.4 juta).
Leicester turut melepaskan ramai pemain berpengalaman untuk mengurangkan bil gaji mereka. Antara yang dilepaskan ialah penyerang veteran Ghana, Jordan Ayew, Jannik Vestergaard, Asmir Begovic dan Ricardo Pereira.
Leicester yang kini dibimbing bekas pengurus Southampton, Russell Martin akan membuka kempen Liga Satu menentang Notts County pada Sabtu.