Jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Nanthakumar mengakui merasa lega melihat pasukan itu mengecapi kemenangan pertama di gelanggang sendiri.
Sejak awal musim 2024/25, Sang Rusa bergelut mendapatkan mata setiap kali beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Sebelum aksi menentang Sri Pahang pada 11 Januari lalu, Negeri Sembilan merekodkan enam kekalahan di stadium itu. Ini termasuk kekalahan 4-0 di tangan Selangor pada 9 Disember 2024.
Trend tersebut akhirnya berjaya diubah menerusi kemenangan 2-1 ke atas Tok Gajah. Gol Hein Htet Aung dan A. Selvan memastikan kemenangan milik Sang Rusa.
Atas sebab itu, Nanthakumar menyifatkan kemenangan ini cukup bermakna buat barisan pemain dan penyokong Negeri Sembilan.
“Memang kita tak menang dekat gelanggang sendiri, jadi ini kali pertama kita menang. Jadi, saya bangga dengan pemain-pemain saya,” katanya selepas perlawanan.
“Apa yang mereka bagi dalam 90 minit ialah komitmen 100%. Saya memang gembira, saya memang puji mereka kerana bekerja keras pada malam ini.”
Kemenangan ini menyaksikan Negeri Sembilan memintas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) ke tangga ke-12 liga dengan sembilan mata.
Selepas ini, Sang Rusa bakal menerima kunjungan Sabah di Paroi pada 25 Januari ini.