“Kalau Mereka Cek Akaun Bank Mereka Akan Tahu” – Stanley Bernard

stanley bojan "Kalau Mereka Cek Akaun Bank Mereka Akan Tahu" - Stanley Bernard
KL CITY FC
Azri Haziq @azrihazq
12:19am 19/03/2022

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City FC, Stanley Bernard akhirnya tampil menjelaskan berkaitan isu tunggakan gaji yang sedang melanda pasukan KL City FC akhir-akhir ini.

Stanley ketika ditemui wartawan Harimau Malaya di padang latihan pada petang semalam menegaskan bahawa beliau akan terus kekal menerajui KL City FC musim ini. Tambah Stanley, pihak pengurusan KL City pada semalam sudah berjaya melunaskan kesemua gaji para pemain.

“Kedudukan saya stabil dan setiap rumours yang masuk itu saya tak boleh jawab, itu bukan kerjanya kerana itu tidak akan membayar gaji mereka kerana yang membayar gaji mereka adalah juru-juru yang sedang dilakukan.”

“Hari ini kita dapat lunaskan gaji pemain. Selepas ini kalau mereka cek dalam akaun bank mereka, mereka akan tahu,” ujar Stanley sambil berseloroh.

Dalam pada itu, Stanley menjelaskan kekangan yang dihadapi pasukan KL City ketika ini adalah berbeza dengan mana-mana kelab dalam Liga Malaysia. Menurutnya, tidak ada jawapan spesifik untuk dijelaskan namun beliau akui gaji para pemain perlu dilunaskan tepat pada waktunya.

“Memang lumrah dalam bola sepak Malaysia apabila tidak ada gaji nampak silapnya kepada pengurusan, tetapi saya boleh nyatakan di KL agak berbeza, kekangan yang dihadapi itu bukan dari segi tiada jawapan namun gaji itu sebenarnya perlu diawalkan.”

Ditanya berkaitan kedudukannya sebagai CEO di KL City, Stanley menganggap tidak akan ada apa-apa perubahan yang berlaku tentang jawatan yang sedang disandangnya. Beliau sentiasa berusaha untuk menjalankan tugas dengan amanah dan usaha beliau juga akhirnya telah menampakkan hasil.

“Saya rasa perlu dilihat bahawa saya datang ke sini (KL City) bukan melalui mana-mana pihak yang menyatakan untuk saya tidak berada dan mereka tidak mempunyai kuasa itu kerana pengambil alihan itu tidak berlaku. Itu adalah variasi yang berlaku apabila tidak mempunyai pemahaman.”

“Jadi bagi saya, saya tidak memasuki bab itu kerana apa yang saya lakukan sejak bulan Jun, Julai dan September tahun lepas adalah kestabilan untuk memastikan pasukan menang. Hasil daripada kerja ketika itu, kita masih stabil dan berjaya memenangi Piala Malaysia, kata Stanley.