Kali Terakhir JDT Layan Buriram United, 4 Momen Ini Berlaku
MakanBola
Johor Southern Tigers

Singkap kembali saat kali terakhir Johor Darul Ta’zim (JDT) turun menanti kunjungan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Mac 2025.

Pertemuan JDT vs Buriram United dalam aksi separuh akhir ACC Shopee Cup bakal menjadi tumpuan malam ini tatkala dua kelab terbaik di ASEAN turun berentap memburu slot ke final.

Menjelang sepak mula, mari singkap 4 momen yang diingati ketika kali terakhir JDT melayani Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi pusingan 16 terbaik AFC Champions League Elite musim lalu.

1- Rembatan Lengkung Suphanat Mueanta Singkirkan JDT

Momen yang menjadi igauan buat peminat JDT sudah pasti apabila percubaan cantik dari bintang muda Buriram United, Suphanat Mueanta berjaya menembusi gawang tuan rumah yang dikawal oleh Andoni Zubiaurre.

Jaringan pada minit ke-56 itu kekal hingga tamat permainan sekali gus membawa Buriram United mara ke suku akhir ACL Elite dan menguburkan harapan besar JDT untuk melangkah lebih jauh musim itu.

2- Jaringan Minit Akhir Jorge Obregon Dibatalkan

Salah satu insiden yang paling tidak dapat dilupakan peminat JDT tentunya apabila jaringan minit akhir oleh Jorge Obregon dibatalkan pengadil perlawanan atas dakwaan penyerang itu berada dalam kawasan ofsaid.

Sekiranya gol tersebut diterima, sudah tentunya JDT memiliki talian hayat untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun keputusan pengadil muktamad hingga mencetuskan rasa kurang senang penyokong.

3- Kehadiran Penonton Tertinggi Di Stadium Sultan Ibrahim Pada Musim 2024/2025

Satu rekod baharu tercipta dalam aksi JDT vs Buriram United ketika itu apabila Stadium Sultan Ibrahim mencatat kehadiran penonton tertinggi untuk musim 2024/2025 dengan jumlah 34,590 orang.

Walaupun keputusan tidak memihak JDT, namun atmosfera di Stadium Sultan Ibrahim sememangnya memberikan satu momen yang menarik untuk penggemar bola sepak dengan kemeriahan penonton.

4- Momen Dion Cools Pujuk Arif Aiman Sentuh Hati Peminat

Momen yang menyentuh hati ramai peminat adalah apabila kapten Harimau Malaya yang juga tonggak Buriram United, Dion Cools sempat menghampiri bintang JDT, Arif Aiman selepas tamat aksi.

Dion Cools dilihat memeluk erat Arif Aiman yang terduduk kesedihan apabila perjuangan JDT di pentas Asia berakhir malam itu di pusingan 16 terbaik sekali gus memaparkan kekecewaan pemain muda itu.

Aksi JDT vs Buriram United bakal berlangsung pada Rabu, 6 Mei 2026 di Stadium Sultan Ibrahim dengan sepak mula jam 8 malam.