Pemilik pasukan Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar tidak membenarkan sesiapun menceroboh skuad Kedah dan akan mengambil tindakan undang-undang buat mereka yang ingin merosakkan kelabnya.
“Semua orang sayang dan cinta pasukan bola sepak masing-masing tak kisahlah apa kedudukan pasukan kita. Kita akan buat apa yang terbaik dalam menjaga kelangsungan dan kelestarian pasukan kita sama ada dari segi persembahan atau pentadbiran.
“Saya dan rakan-rakan pengurusan di KDA FC telah, sedang dan akan melakukan apa sahaja – dalam kerangka undang-undang Malaysia – bagi memelihara pasukan yang kami sayangi walaupun penyokong dan orang ramai tidak mengetahui segala tapak yang kami melangkah dalam isu kebajikan pemain, percukaian, perbelanjaan, perancangan dan impian.”
Beliau turut menjelaskan tanggungjawab darinya dan pihak pengurusan kelab tidak lain tidak bukan adalah untuk pasukannya.
“Kita tidak mahu dan kami tidak benarkan sesiapa pun menceroboh kubu dan rumah kami – walaupun nampak miskin dan naif – kerana kami percaya tanggungjawab kami yang pertama dan terakhir adalah kepada pasukan KDA FC dan bukan orang lain.
“Kami juga mahu mengurus pasukan Sang Kenari dengan fakta yang sahih dan bukan kepalsuan.
Sesiapa yang cuba menceroboh pondok dan rumah kami yang mungkin nampak lemah, lembik dan goyang, tunggulah akibatnya. Semoga fakta dan data mengatasi helah dan tipu daya dalam kehidupan yang sementara ini,” jelasnya seperti yang disiarkan media KDA FC.
Sebelum ini tular ciapan di Twitter salah seorang wartawan arus media perdana yang menyebarkan berkenaan permasalahan pencukaian LHDN dan pihak Kedah namun ianya disangkal Kedah dan akan mengambil tindakan undang-undang.