Ketua Pasukan Vietnam, Do Duy Manh menganggap perlawanan bertemu Malaysia dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 kali ini adalah bukan mudah kerana skuad Malaysia kini tidak sama seperti dulu.
Dalam satu sidang media sebelum perlawanan, Duy Manh melihat Malaysia sudah berubah dari segi jurulatih dan kumpulan pemain yang berbeza berbanding aksi kedua-dua pasukan sebelum ini.
“Ya untuk perlawanan esok (bertemu Malaysia) tidak sama seperti pada tahun 2018. Malaysia ada jurulatih baharu dan skuad yang baharu.
“Apa yang kami tahu, Malaysia mempunyai 17 ke 18 pemain naturalisasi dan sebahagian daripadanya beraksi di luar negara. Saya rasa ianya bukan perlawanan yang mudah.
“Tapi kami sebagai pemain ada sasaran kami sendiri dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai terget tersebut,” jelas Duy Manh seperti yang dikongsikan kepada Astro Arena.
Duy Manh juga tidak mahu berkongsi target yang dikatakan sebaliknya semua perlu menunggu hingga ke akhir perlawanan kerana keputusan yang akan diketahui usai tamat aksi tersebut.
Malaysia kini menghuni tangga kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 dengan mengumpul 3 mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Nepal pada Mac lalu.
Manakala Vietnam yang turut mengumpul mata yang sama berada di tangga teratas hasil kemenangan besar 5-0 ke atas Laos pada aksi sulung mereka.