Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi percaya anak-anak buahnya perlu mendapatkan tempat kedua dalam saingan Liga Super 2024-2025.
Skuad Gergasi Merah ketika ini berada di dalam momentum terbaik apabila berjaya merekodkan 6 kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan termasuklah menewaskan KL City pada Ahad.
Dalam aksi yang berlangsung di Kelana Jaya itu, Alvin Fortes menjadi wira Selangor dengan gol tunggal pada minit ke-63 permainan sekaligus memastikan 3 mata pertama diraih bagi tahun 2025.
Kemenangan di hadapan 5690 penyokong ini mengukuhkan tempat Selangor di tangga kedua carta Liga Super dengan 38 mata, 9 mata di hadapan Sabah yang tumbang di tangan JDT.
Menurut Kinoshi, tempat kedua adalah sasaran realisitik yang perlu dicapai oleh Selangor ketika ini berdasarkan keputusan semasa yang telah diraih dan juga pasukan lawan yang akan dihadapi.
”Berdasarkan keputusan kita mesti dapatkan tempat kedua atau mungkin tempat pertama kerana kami selalu utamakan perlawanan akan datang,” ujar Kinoshi selepas aksi bertemu KL City.
Walau bagaimanapun, beliau mahu anak-anak buahnya untuk kekal fokus berdepan satu demi satu perlawanan selepas ini berbanding memikirkan perjalanan liga yang lebih jauh nanti.
”Jadi kami tidak terlalu memikirkan aksi-aksi yang agak lama lagi, sudah tentu kami fikirkan sedikit tapi kami perlu fokus untuk satu aksi dahulu selepas ini.”
Tambah Kinoshi, sekiranya Selangor berjaya mengakhiri aksi di Liga Super di tempat kedua, itu sudah cukup untuk beliau berasa gembira kerana itu adalah sasaran pasukan musim ini.
”Jika dilihat kepada keputusan, kita boleh mencapai tempat kedua, jika kita dapat capainya, saya amat gembira kerana ini adalah sasaran utama untuk musim 2024/2025 ini,” tambah Kinoshi.
Selepas ini, Selangor akan berkunjung ke Pulau Mutiara bagi menghadapi Penang dalam aksi MFL Challenge Cup pada 19 Januari ini di Stadium Bandaraya.