Penjaga gol Selangor FC, Azim Al-Amin menerima pujian menggunung susulan aksi cemerlangnya di ACL2.
Pemain berusia 22 tahun itu menerima kepercayaan barisan kejurulatihan untuk beraksi dalam kesebelasan utama skuad Gergasi Merah.
Beliau tidak mensia-siakan peluang tersebut apabila tampil cemerlang untuk menafikan setiap percubaan daripada tonggak lawan.
Azim berjaya mematahkan peluang keemasan Muangthong United ketika berdepan situasi satu lawan satu menentang Kakana Khamyok.
Beliau sekali lagi menutup peluang di hadapan gawangnya selepas hantaran cantik Tristan Do untuk memastikan aksi babak pertama tanpa jaringan.
Menurut bekas jurulatih penjaga gol Malaysia, Azmin Azram, beliau memaklumkan bahawa tindakan Azim dalam perlawanan ini amat baik.
“Tandukan ke belakang oleh Harith itu peratusan telah menyebelahi pemain Muangthong United berbanding Azim. Akan tetapi, beliau bijak untuk menggunakan teknik iaitu bahagian mana yang perlu dia masuk dalam situasi satu lawan satu.
“Dalam situasi ini, beliau terus menjulurkan badannya yang panjang dan menjadikan keadaan lagi sukar,” jelas Azmin kepada Astro Arena.
Penjaga gol B-23 negara ini menerima penilaian tinggi dari laman Sofascore iaitu 7.3 mata dan bakal menerima kunjungan DH Cebu bagi aksi kedua ACL di Stadium MBPJ pada 3 Oktober.