Kecederaan yang dialami oleh pertahanan tengah Selangor, Ahmad Khuzaimi Piee tidak berpanjangan.
Pemain berusia 31 tahun itu terlepas sebahagian besar daripada aksi musim ini akibat kecederaan namun mula kembali diletakkan dalam skuad.
Kelibat beliau bagaimanapun tidak kelihatan dalam beberapa aksi terakhir termasuklah ketika Gergasi Merah tersingkir daripada peringkat kumpulan AFC Champions League Two (ACL2).
Selangor dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Khuzaimi mengalami kecederaan hamstring menerusi pengesahan kesebelasan utama pasukan berdepan DH Cebu.
Beliau bagaimanapun tetap disenaraikan dalam kelompok 26 orang pemain yang bakal membuka tirai Harimau Malaya berdepan Kemboja di Phnom Penh pada 8 Disember.
Khuzaimi merupakan aset berharga Malaysia ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2023 namun kurang mendapat tempat sungguhpun dibawa ke Piala Asia di Qatar.
Bekas tonggak Negeri Sembilan ini dijangka kembali menjadi pilihan Pau Marti susulan kekurangan pemain pertahanan berpengalaman pada panggilan kali ini.
Khuzaimi dilihat menjalani latihan bersama kem Harimau Malaya sejak hari pertama dijangka akan turun mengemudi benteng negara malam ini.