Advertisements
Kedah Nafi Penaja Pasukan Tarik Diri
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Pemilik saham terbesar Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Daud Bakar tampil memberi penjelasan kepada semua pihak berkenaan khabar angin bahawa penaja utama pasukan telah menarik diri.

Khabar angin mengenai kemelut yang melanda kem Sang Kenari akhirnya tampil diperjelaskan satu persatu oleh beliau.

Katanya, berita yang tular di media berkenaan penaja pauskan menarik diri itu adalah satu dakwaan yang tidak benar.

Namun begitu, beliau juga tidak menafikan bahawa para penaja juga berdepan kekangan tersendiri sehingga menyebabkan pasukan turut menerima tamparan hebat.

“Dakwaan bahawa penaja Kedah telah menarik diri adalah tidak benar. Saya tidak pasti dari mana khabar tersebut diterima.”

“Saya bagaimanapun mengakui penaja kita juga berdepan masalah tertentu yang turut menjejaskan pasukan,” jelasnya kepada Astro Arena.

Tan Sri Daud Bakar menyatakan kesediaan untuk menawarkan saham syarikatnya dan melakukan sebaik mungkin untuk menyelamatkan kewangan pasukan.

“Satu misi sahaja, Kedah Darul Aman dapat diberi oksigen dan terus bernyawa dalam arena bola sepak negara. Saya akan berusaha sebaik mungkin buat pasukan ini selaku pemilik saham terbesar kelab.”

Beliau juga akan berkomunikasi dengan para pemain dan juga barisan kejurulatihan berkenaan masalah ini dan tidak mahu masalah gaji ini melarat hingga memasuki dua bulan tunggakan.