Kedah Terima Penajaan RM2 Juta Dari ALX
MakanBola
KDA FC

Walaupun berdepan dengan isu tunggakan gaji musim 2023, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hari ini mengumumkan penajaan kit untuk tempoh dua musim dari ALX.

Melalui satu hantaran di laman X rasmi pasukan, jumlah tajaan itu bernilai RM 2 juta untuk untuk 2 musim iaitu tahun 2024-2025 dan 2025-2026.

“KDA FC dengan bangganya mengumumkan penajaan kit rasmi Sang Kenari oleh jenama ALX untuk 2 musim iaitu tahun 2024-2025 dan 2025-2026 bernilai jumlah keseluruhan RM2 juta dalam bentuk barangan sukan bagi kegunaan semua pasukan dibawah naungan KDA FC serta pemberian insentif jualan produk dan hadiah kemenangan dalam setiap pertandingan disertai.

“ALX adalah jenama sukan dibawah AL-Ikhsan Sports yang merupakan barangan inovasi berprestasi tinggi direka khas untuk sukan berprestasi tinggi. ALX adalah revolusi daripada jenama AL yang dicipta dengan inovasi untuk mentakrifkan semula pasaran dan memberikan prestasi yang tiada tandingan merentas pelbagai sukan,” umum KDA FC di laman X.

Penajaan tersebut menandakan Kedah bakal menggunakan jersi keluaran ALX dan bukan lagi jenama Lotto seperti musim-musim sebelum ini.

Status pasukan Kedah masih lagi belum diketahui untuk musim baharu Liga Malaysia sama ada kekal beraksi di Liga Super ataupun terpaksa ‘jatuh’ ke Liga M3 memandangkan masalah tunggakan gaji 2023 yang belum diselesaikan.

Kedah dikatakan sudah pun membuat persediaan untuk bersaing di Liga Super 2024/2025 dengan proses persiapan pasukan sudah mencapai 85 peratus.

Para pemain Kedah dijadualkan akan memulakan sesi latihan pra-musim pada minggu ini sebelum sepak mula Liga Super pada 10-12 Mei depan.