Advertisement
“Kedudukan Nafuzi, Bagi Kita Mesyuarat Dulu” – Presiden PBSNT
Liga Super
MakanBola
Terengganu FC

Terengganu FC mengakui sehingga ke waktu ini, kedudukan Nafuzi Zain sama ada akan kekal mengemudi kelab itu musim depan, masih belum diputuskan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan keputusan mengenai masa depan Nafuzi akan dibuat paling awal pada 25 Oktober ini di dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd.

“Kita tengok perkembangan semasa apa yang berlaku, macam pasaran saham ada turun naik, apa jua kita akan tangani dengan cara yang terbaik perkembangan itu sama ada positif ataupun negatif.

“Namun setakat ini belum ada apa-apa lagi keputusan berhubung kedudukan jurulatih itu kerana kita tidak mahu memberi tekanan tertentu dalam keadaan sekarang,” ujar Samsuri kepada pemberita selepas menyampaikan trofi kepada pasukan Besut FA yang muncul juara Liga Bolasepak Terengganu (TFL) 2022 pada Jumaat.

Kemelut mengenai masa depan Nafuzi sebenarnya menimbulkan keluh-kesah dalam kalangan penyokong Terengganu, memandangkan mereka sudah jatuh cinta dengan sentuhan pengendali muda kelahiran Kelantan itu.

Selain memperkenalkan corak permainan bolasepak moden yang menarik dan menghiburkan, pelbagai perubahan lain diterap Nafuzi di dalam menjadikan kelab itu kompeten sehingga dilabel pencabar kejuaraan malah pemain-pemain juga dilihat sudah selesa untuk bermain di bawah tunjuk ajarnya.

Sepanjang mengemudi kelab pantai timur itu bermula pertengahan 2019, Nafuzi membawa Terengganu layak ke Piala AFC 2021 (yang kemudiannya dibatalkan kerana Covid-19) selepas muncul naib juara Liga Super 2020 dan berada dalam landasan terbaik untuk mengulangi pencapaian itu sekali lagi musim ini.

Malahan, Nafuzi turut membawa TFC mara ke final Piala FA 2022 – final pertama kariernya sebagai ketua jurulatih – sebelum tewas di tangan Johor Darul Takzim pada bulan lalu.

Jika segala pencapaian ini masih belum cukup untuk meyakinkan pengurusan TFC untuk mengekalkannya, Nafuzi sudah tentunya mempunyai banyak pilihan lain untuk dipertimbangkan.