Khidmat dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Aidil Zafuan dan Safiq Rahim pastinya akan terus ditagih untuk membawa perubahan atau revolusi baharu yang bakal diterapkan Kim Pan-gon dalam skuad negara
Aidil Zafuan dan Safiq Rahim masing-masing menjadi taruhan Kim Pan-gon dalam siri perlawanan Tri-Nations 2022 minggu lalu yang menyaksikan Malaysia menang ke atas Filipina dan tewas kepada Singapura.
Sugguhpun banyak kritikan pedas yang mengulas tentang prestasi semasa dua tonggak senior ini, namun mereka mempunyai peranan tersendiri. Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Richard Scully menjelaskan bahawa khidmat Aidil dan Safiq masih diperlukan dalam kem Harimau Malaya.
Prestasi semasa kedua pemain ini masih baik walaupun mereka sudah mencecah usia 30-an. Kendatipun begitu, Aidil dan Safiq dilihat masih menunjukkan minat untuk terus berjuang demi lencana di dada.
“Bagi saya, Pan Gon berjaya menyerap susun atur pemain muda dan lama, malah sumbangan Safiq dan Aidil masih diperlukan dalam skuad. Saya tidak melihat mereka di puncak kerjaya sebaliknya di puncak prestasi.”
Richard Scully juga yakin sumbangan Aidil dan Safiq di dalam mahupun luar padang masih besar buat kem negara. Barangkali pengalaman mereka ini diperlukan pada sesetengah perlawanan dan tambahan, mereka ini juga merupakan individu yang diperlukan untuk meningkatkan moral pemain.
“Mungkin daripada segi fizikal dan kecergasan, pemain-pemain senior ini hanya dapat berada separuh masa di atas padang tetapi itu pun sudah memberi sumbangan besar kepada pasukan,” kata Richard kepada Utusan Malaysia.