Selepas Al-Nassr menawarkan gaji RM78 juta sebulan kepada Cristiano Ronaldo sebagai insentif menyertai mereka, kelab-kelab Arab Saudi lain turut menyertai usaha mendapatkan bintang bertaraf dunia setaraf dengan Ronaldo. Salah satu daripadanya ialah Luis Suarez yang diintai kelab Al-Khaleej.
Kelab yang berpangkalan di Saihat, timur Arab Saudi itu berharap dapat mengikat bekas penyerang Liverpool itu dengan kontrak selama 18 bulan bernilai AS$8 juta (RM35.3 juta). Hal ini didedahkan oleh wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano dalam satu ciapan di Twitter semalam.
Al-Khaleej berharap kehadiran Suarez dapat memantapkan bahagian serangan mereka. Bagaimanapun, menurut Romano, itu tidak akan berlaku disebabkan bekas penyerang Ajax Amsterdam itu telah menyatakan persetujuan untuk menyertai kelab Brazil, Gremio. Suarez dijangka memeterai kontrak dua tahun bersama Imortal Tricolor selepas tamat kempen Piala Dunia 2022 Uruguay.
Sebelum ini, Suarez dikaitkan dengan perpindahan semula ke liga-liga Eropah selepas bermain selama tiga bulan di Nacional. Selain Gremio, dia turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab MLS, Inter Miami dengan harapan menyatukannya dengan rakan lama di Barcelona, Lionel Messi. Bagaimanapun, legenda Argentina itu dikatakan mahu kekal di PSG.
Perpindahan Suarez ke Gremio menyaksikan dia bakal bertemu semula dengan rakan sepasukan lama di Liverpool, Lucas Leiva. Bagaimanapun, bekas pemain tengah Reds itu dijangka berehat selama dua hingga tiga bulan selepas ujian perubatan mengesan anomali pada jantungnya.