Kelab Thailand, Kasetsart FC didakwa sedang berdepan masalah tunggakan gaji berdasarkan luahan jurulatih mereka, Anurak Srikerd.
Wartawan Thailand, Ta Lao mendedahkan perkara ini menerusi satu gambar tangkap layar luahan sedih Anurak di Facebook semalam.
“Saya dapat makanan untuk makan selepas (Kasetsart) seri walaupun saya tak dibayar selama dua bulan. Saya tak pernah alami perkara sebegini dalam hidup saya,” katanya.
Keputusan seri yang dimaksudkan Anurak ialah keputusan seri 1-1 Kasetsart dengan Chiangmai United dalam saingan Thai League 2 semalam.
Pendedahan ini bakal menyukarkan lagi pasukan itu yang kini berada di kelompok terbawah liga. Selepas enam perlawanan, Kasetsart mengutip lima mata dengan satu kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.
Sekiranya dakwaan ini terbukti benar dan tidak diselesaikan dengan segera, tidak mustahil tindakan keras bakal diambil terhadap kelab berkenaan termasuk dikenakan potongan mata.
Nama Kasetsart dikenali penyokong negara kerana pemain warisan Malaysia, Stuart Wark pernah mewakili kelab ini pada awal Januari lalu. Beliau kemudiannya meninggalkan kelab selepas saingan Thai League 2 musim lepas berakhir.