Kelantan dianggarkan menjana lebih RM360,000 untuk perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2022 melibatkan pasukan Kelantan dan Johor Darul Ta’zim.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV menyaksikan kehadiran penuh buat kali pertama sejak Kelantan diambil alih oleh pemilik baru, Norizam Tukiman (Zamsaham) pada tahun 2020.
Perlawanan menentang JDT tersebut menyaksikan kehadiran penonton sebanyak 20,011 orang sekaligus memberikan tonik tambahan buat The Red Warrior menentang juara Liga Super 2022, JDT.
Harga tiket yang ditetapkan dengan kadar harga minima RM18 terjual dengan pantas sejak ianya diumumkan dijual beberapa hari yang lalu sejurus Kelantan berjaya menewaskan Sarawak United.
Walaupun harga tiket di Kota Bharu disifatkan antara yang termahal di Liga-M, namun kadar jualannya amat memberangsangkan sekaligus memberikan nilai keuntungan yang baik buat TRW Kelantan FC.
Dengan kiraan minima RM18 x 20,011, Kelantan berjaya memperoleh kira-kira RM360,198 hasil jualan tiket, namun anggaran ini bukanlah nilai sebenar melainkan ianya didedahkan sendiri oleh pihak TRW Kelantan.
Kiraan ini juga tidak termasuk hasil jualan lain-lain produk TRW Kelantan semasa perlawanan berlangsung seperti makanan dan minuman dan lain-lain.
Dalam perlawanan menentang JDT tersebut, Kelantan tewas 0-3 di Kota Bharu dan bakal ke Iskandar Puteri pada 11 November ini untuk perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim.